Tanda Tanya

Salam tidak berjawab;
Ucapan tidak bersambut; 
Doa tidak diaminkan. 

Apa salah saya?



Bahagia Bersamamu

Tertanya-tanya...
bagaimana awak tahu hati saya
sehingga meminta jangan bersedih
seolah-olah awak sedang membaca
tulisan-tulisan saya di laman ini
walhal saya belum sempat memberitahu lagi

Amat menghargai...
sudi untuk sentiasa mendoakan saya
agar sentiasa dalam bahagia
begitulah doa saya untuk awak
sejak berpuluh-puluh purnama
berterusan hingga ke akhir nanti
agar kebahagiaan menjadi milik awak
dan menjadi milik kita jua...

Sayang...
diri ini hanya akan bahagia
jika awak juga berada di dalam bahagia
diri ini akan lebih bahagia
jika bahagia itu bersama-sama awak


Nota Indah

Nota ringkas itu
kejutan yang menggembirakan
ia hadiah terindah buat saya
bagai awak berbisik lembut ke telinga
saya terapung-apung terpesona

Jutaan detik yang menyiksa
buat saya jadi sengsara
nota itu bagai ubat merawat lara
saya sembuh dengan kata-kata itu

Nota itu tiba tepat pada waktu
hadir tika dakwat hampir kering
penaku kini menari lagi di diari ini
hadir tika semangat mula lesu
kini ia bertambah kuat semula
hadir tika kotak fikir menerawang
ia kembali cergas dan waras

Nota ringkas itu
walau secebis di ruang mata
ia begitu berharga di ruangan hati
memberi semangat dan kekuatan
bagai bertemu di alam nyata
bagai mati dihidupkan semula

Sayang...
terima kasih memahami dan mendoakan
semoga kita sama-sama bahagia
dan bahagia menjadi milik kita

Gembira Dan Terharu

Gembira...
bila awak masih sudi menyapa
ia jadi hari baru yang indah buat saya
senyuman terukir sepanjang siang dan malam

Terharu...
sapaan ringkas awak menguatkan saya
membangunkan saya dari lena yang panjang
terasa hidup semula setelah seolah mati

Terima kasih, sayang...
membuat siang saya lebih terang
menjadikan malam saya lebih indah
awak tahu dan saya pun tahu
awaklah mewangi saya selama-lamanya


Sayang Di Mana?

Membaca semula diari kita
senyum dan airmata bercantum
banyak yang kita kongsi bersama
suka duka mencoret peristiwa
kini masih tertanya-tanya
mengapa berjuta-juta detik menghilang diri
mengharap kehadiranmu kembali
mewarnai semula kehidupan suram ini

Mewangiku
yang menjadikan malamku lebih indah
menghias langit dengan kerlipan bintang
yang menjadikan siangku lebih terang
menghias langit dengan pelangi petang
sekali bertahta di hati ini
selama-lamanya berada di hati ini
akan terus ku nanti hingga bertemu lagi

Sayang... sayang di mana?


Maafkan Saya


Maafkan saya...
dalam setiap detik merindu
dalam setiap hari menunggu
akal semakin banyak memikir
mengakui sayalah yang bersalah
di dalam hubungan kita ini
hingga awak terpaksa menghilang diri

Maafkan saya...
mungkin terlalu banyak memberi
kasih, sayang, cinta dan segalanya
walau ia lahir dari hati tulus murni
tapi ada batas yang perlu diperhati
tidak terpikul awak menanggungnya
walau indah bila menikmati

Maafkan saya...
perasaan ini tidak tertahan
segala rasa adalah tulus ikhlas
kita tidak pernah merancang
tetapi perasaan itu muncul sendiri
walau tahu terjerat dengan halangan
terus terleka sehingga merana

Maafkan saya, sayang...
mengingatimu sepenuh hati
merinduimu sehingga mati
mengharap bertemu di syurga nanti
hanya awak sahaja ada di hati
tidak mungkin akan ada pengganti

Merisik Khabar

Assalamualaikum sayang...

Saya terus menulis tanpa mengetahui khabar berita daripada awak. Pertanyaan saya tentang khabar, tidak berjawab. Saya cuba mengerti.

Sesekali, dapatlah kiranya mengirim berita. Sekurang-kurangnya saya tahu khabar dan cerita. Tapi kalau awak terus mengambil sikap berdiam diri, saya terpaksalah terima keputusan itu bagi menghormati permintaan awak sambil berharap sangat hubungan kita bercantum kembali.

Bukan senang sebenarnya melalui detik-detik seperti sekarang ini. Teringat keramahan awak, memang terasa sunyi sepi bila kehilangan senda gurau dan bual bicara kita.

Redup petang ini dengan seri sinar mentari petang, ingatan pada awak makin kuat. Keakraban kita yang begitu jitu, hilang secara tiba-tiba. Saya amat terasa kehilangan itu. Amat-amat merasainya. Tiada pengalaman seperti ini, sebelum ini. Tidak mahu ada pengalaman seperti ini lagi.

Sayang...
Walau di mana awak berada dan walau apapun yang sedang awak lakukan sekarang, hanya doa dari jauh daripada saya, agar awak sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan bahagia. Selagi bernyawa, awak sentiasa ada di dalam hati saya. I luv u.
  
Salam sayang buat tersayang...